Saturday, November 14, 2009

Insurans Kemalangan Diri

Insurans Kemalangan Diri (KD) merupakan polisi tahunan yang memberikan anda PERLINDUNGAN insurans 24 jam di seluruh dunia terhadap kecederaan, kehilangan upaya atau kematian akibat kemalangan.

Anda boleh mengambil polisi KD untuk diri sendiri atau hayat orang lain, contohnya suami/isteri anda. Polisi juga boleh dikeluarkan untuk melindungi sekumpulan individu, contohnya polisi berkumpulan untuk keluarga anda atau polisi berkumpulan yang diambil oleh majikan untuk melindungi pekerjanya.

Apakah yang dilindungi di bawah polisi KD?
Jenis perlindungan berbeza-beza mengikut syarikat insurans, tetapi lazimnya termasuk :
- Kematian akibat kemalangan
- Kehilangan upaya menyeluruh atau sebahagian kekal
- Kehilangan upaya menyeluruh atau sebahagian sementara
- Perbelanjaan perubatan
- Faedah rawatan di Hospital
- Perbelanjaan pengebumian

Walau bagaimanapun, polisi KD anda yang standard TIDAK melindungi kematian, kehilangan upaya atau kecederaan yang disebabkan :
- Peperangan
- Aktiviti pengganas
- Bunuh diri dan ketidaksiuman
- Kecederaan yang dilakukan oleh diri sendiri dengan sengaja
- AIDS
- Pembunuhan atau serangan yang disebabkan provokasi
- Melahirkan anak, mengandung atau keguguran
- Sukan berbahaya
- Pengendalian atau penunggangan kenderaan bermotor yang beroda dua, contohnya motosikal

Apakah pengecualian lain yang terkandung dalam polisi KD?
Anda mungkin tidak boleh mendapatkan perlindungan KD jika anda seorang :
- Anggota polis/tentera atau penguatkuasa undang-undang
- Penyelam
- Juruterbang atau anak kapal
- Juruuji pesawat
- Pemandu kereta lumba
- Pelaut dan nelayan
- Ahli sukan profesional

Sesetengah polisi KD juga mengenakan had umur bagi orang yang diinsuranskan.

Nota : Sebahagian daripada pengecualian di atas boleh dilindungi dengan pembayaran premium tambahan.

Apakah yang anda perlu tahu semasa membeli insurans KD?
Skala Faedah :
Ini merujuk kepada amaun pampasan yang akan dibayar oleh syarikat insurans bagi jenis tuntutan tertentu seperti kecederaan yang mengakibatkan kehilangan anggota tubuh badan, penglihatan, pendengaran, dan sebagainya. Sebagai contoh, anda akan menerima 10% daripada jumlah yang diinsuranskan bagi kehilangan jari telunjuk.

Penamaan benefisiari (waris) :
Anda perlu menamakan benefisiari untuk menerima wang yang akan dibayar di bawah polisi. Ini boleh dilakukan semasa anda membuat permohonan polisi insurans KD atau pada bila-bila masa selepas polisi itu dikeluarkan. Anda juga perlu memaklumkan pihak benefisiari yang beliau telah dinamakan sebagai benefisiari.

Berbilang polisi insurans :
Ini bererti anda memiliki lebih daripada 1 polisi KD. Sekiranya demikian, jika anda meninggal dunia atau kehilangan upaya, anda atau waris anda (mengikut keadaan), akan dibayar pampasan di bawah SETIAP POLISI YANG DIBELI. Walau bagaimanapun, bagi tuntutan tertentu, seperti perbelanjaan perubatan, anda hanya boleh membuat tuntutan daripada satu polisi KD. Jika amaun yang anda tuntut melebihi apa yang anda terima bagi sesuatu polisi KD, anda boleh menuntut perbezaan itu daripada polisi kedua dan seterusnya. Namun begitu, anda tidak boleh menuntut melebihi jumlah amaun perbelanjaan perubatan yang anda telah bayar.
Anda perlu menyatakan dalam proses pemohonan tentang polisi KD lain yang telah anda beli. Jika anda membeli perlindungan KD tambahan daripada syarikat insurans lain, anda perlu memaklumkan syarikat insurans berkenaan (sekiranya ada).

KEWAJIPAN MEMBUAT PENDEDAHAN FAKTA
Anda perlu mendedahkan sepenuhnya semua fakta penting dalam borang permohonan, contohnya keadaan kesihatan anda, pekerjaan sekarang dan bilangan polisi KD yang anda telah miliki. Ini membolehkan syarikat insurans anda mempertimbangkan permohonan anda dengan teliti. Jika anda tidak mendedahkan mana-mana fakta penting, syarikat insurans boleh menolak tuntutan anda.
Setelah anda diinsuranskan, anda perlu memaklumkan syarikat insurans anda sekiranya anda bertukar pekerjaan kerana ini mungkin mengubah profil risiko anda.

Pembayaran Premium - Apa Yang Perlu Anda Tahu
  • Premium anda perlu diterima oleh syarikat insurans dalam tempoh 60 hari dari tarikh perlindungan bermula. Jika tidak, perlindungan anda terbatal secara automatik dan anda masih bertanggungjawab membayar premium selama 60 hari tersebut di mana polisi anda telah berkuatkuasa.
  • Anda  perlu memastikan cek anda dikeluarkan atas nama syarikat insurans sekiranya anda membayar melalui ejen. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika premium anda dibayar terus kepada syarikat insurans.
  • Minta resit pembayaran premium dan hubungi syarikat insurans anda sekiranya anda tidak menerima polisi selepas sebulan dari tarikh pembelian polisi itu.


No comments: